Monday, May 17, 2010

REMAJA TANAM BAYI..

ASSALAMUALAIKUM..

MELAKA 17 Mei – Bagaikan bermusim, gejala buang bayi kini seperti tiada penghujungnya.

Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah.

Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir.

Ketika masyarakat masih diselubungi rasa simpati, seorang lagi bayi lelaki menjadi mangsa kekejaman ibu bapanya.

Yang mengejutkan, dia adalah anak kepada pasangan remaja yang baru berusia 15 dan 19 tahun.

Mayat bayi itu ditanam berhampiran Sungai Melaka selepas dikatakan meninggal dunia di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.

Difahamkan, sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang cukup sifat itu masih hidup tetapi dipercayai meninggal dunia sebelum ditanam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian itu disedari ibu kepada remaja perempuan terbabit selepas pulang dari tempat kerjanya pada Rabu lalu.

“Wanita berusia lingkungan 30-an itu terkejut apabila mendapati anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, doktor yang membuat pemeriksaan kemudian mengesahkan remaja perempuan yang masih bersekolah itu baru sahaja melahirkan seorang bayi.

“Terperanjat dengan kata-kata doktor itu, ibunya kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang hari yang sama,” katanya.

Susulan daripada itu, Mohd. Adnan memberitahu, polis menahan teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang merupakan penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di Terengganu.

Tambahnya, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu, polis pergi ke lokasi tempat mayat bayi tersebut ditanam pada pukul 4 pagi keesokan harinya.

“Polis kemudian menemui mayat bayi yang ditanam sedalam 0.8 meter di tebing sebatang sungai sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat.

“Siasatan mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala,” katanya.

Berikutan itu, polis menahan pasangan terbabit di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.

No comments: