Thursday, May 5, 2011

PELANGI HIDUP...BHG 4


Hari demi hari berlalu. Keadaan Ilia sudah bertambah baik dari sebelumnya. Dia tidak lagi murung seperti dahulu malah dia sudah mula belajar untuk menerima hakikat ketiadaan kakak kesayangannya itu. Ilia telah menunjukkan perubahan positifnya apabila dia mula mengukir senyuman manis di bibirnya. "Ada apa- apa yang melucukan ke Ilia? dari tadi saya nampak awak tersenyum seorang diri.." soalku kehairanan sambil bebola mataku ligat melihat sekeliling mengesan kalau- kalau ada kelibat manusia di situ. Namun aku tidak menemukan sesiapapun. Mataku ditumpukan pada sahabatku itu semula. 



" Sebenarnya saya teringatkan arwah kakak saya. Tiba-tiba je saya seolah-olah terdengar butir butir  nasihat yang pernah diungkapkan pada saya dahulu. Kadang-kadang saya rasa seperti orang bodoh kerana terlalu mengikut nafsu sendiri." Aku mengerutkan dahiku tanda kurang faham terhadap apa yang telah diperkatakan Ilia.."Em ..Ilia ..sebenarnya apa nasihat kakak awak sampai awak boleh tersenyum sorang-sorang macam ni?"



"Kakak saya selalu mengatakan bahawa orang mukmin itu hidupnya sentiasa tenang dan beruntung. Apabila dia mendapat nikmat, dia bersyukur. Apabila dia mendapat musibah pun dia tahu pasti terselit hikmah disebalik musibah tersebut kerana Allah tidak membebankan seseorang hambanya dengan apa yang tidak tertanggung olehnya. Haa...sebab tulah saya tersenyum tadi kerana saya merasakan  tiada apa apa faedah walau saya menangisi pemergian kak Ina dengan air mata darah sekalipun. Saya perlu belajar menerima hakikat kewujudan  insan yang pasti akan berakhir dengan kematian. Awak ingat lagi kata-kata ustaz Izuan tempoh hari?" pintasnya tiba-tiba.



"Tentang kematian tu ke?" persoalannya itu menyebabkan romaku terasa  tegak berdiri. Seram seluruh tubuhku apabila ungkapan "kematian " didengari."Iye.. yang itulah. Ustaz ada menyebut yang setiap yang bernyawa itu pasti akan merasai mati. Hari itu giliran kak ina. pada waktu akan datang akan tiba giliran kita pula.." " Betul tu Ilia tapi awak janganla asyik sebut pasal mati ni. seram sejuk rasanya. Kita buka topik lain ye..emm awak dah makan?"



Sebelum soalanku sempat dijawab oleh Ilia, Shahid dan Muslim tiba-tiba muncul di hadapan kelas. Mereka  berjalan sambil menjinjit satu beg plastik berwarna merah. Kelihatan seperti mereka baru sahaja singgah di koperasi sekolah."Ling, mu wi la ko dio. Aku segey la. Mu key gentlemen. oyap jah mu beli ni ko dio. bereh." Telingaku sempat menangkap perbualan mereka walaupun dialeknya sungguh pekat sekali.



Muslim sempat memandang kami yang berada di ruangan sudut bacaan di dalam kelas. Sambil membawa bungkusan tersebut, muslim lantas menghulurkannya kepada Ilia." Assalamualaikum Ilia, awak dah makan ke belum? kalau belum lagi silalah ambil pemberian dari Shahid ni..em..bukan..maksud saya pemberian dari saya sendiri." dengan keadaan yang malu- malu Muslim menghulurkan bungkusan itu kepada Ilia yang duduk bersila di sebelahku. Ilia menyambutnya dengan senyuman yang dibuat-buat berbaur segan. Aku hanya memandang Muslim yang berlalu setelah menghulurkan bungkusan tersebut kepada Ilia dengan pandangan kosong tanpa sepatah kata.....







No comments: