Friday, May 7, 2010

REMAJA DAN KEINGINAN MEREKA..

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH MAHA PENGASIH..


"Objektif hidup saya adalah untuk menggembirakan kedua ibubapa saya dan menjadi anak yang saleh"

"Objektif hidup saya adalah untuk menjadi polis yang garang dan menembak penjahat"


"Saya ingin menjadi muslimah yang baik dan semoga Mr X dapat mengahwini saya dan membimbing saya menjadi muslimah yang baik"


"Saya mahukan perhatian dan supaya semua orang menghargai saya."

"Saya ingin berjaya dunia dan akhirat dan menggembirakan kedua ibubapa saya."

"Saya mahu berjaya di dalam SPM dan menjadi anak yang berguna dan menjadi kebanggaan ibubapa.
"





Pernah satu ketika saya diminta untuk memberikan ceramah motivasi kepada pelajar-pelajar yang bakal menduduki peperiksaan SPM. Mulanya segan juga, maklumlah saya bukannya pandai memberi motivasi terutamanya kepada pelajar-pelajar. Feedback dari guru mengatakan mereka adalah pelajar dari sekolah yg mencorot juga prestasinya. Kebanyakan pelajarnya nakal dan semangat untuk belajar tu, agak kurang.

Apabila saya sampai, MasyaAllah, dengan bisingnya, bercakapnya. Entah la...Cikgunya pun menggelengkan kepala sahaja. Lepas cikgunya menjerit sikit, barulah diam. Susunan mereka pun pelik sikit. Sebelah kiri lelaki sebelah kanan perempuan, tetapi tiba-tiba ada beberapa orang pelajar perempuan berseorangan dikelilingi lelaki di sebelah lelaki. Dan ada satu kumpulan lelaki yang duduk nun jauh dibelakang sebelah perempuan.

Saya kata dalam hati "mungkin susah dah nak kawal ni". Jadi, saya memulakan sesi motivasi dengan meminta mereka menulis apa yang mereka mahu didalam hidup mereka didalam sekeping kertas seberapa banyak ayat dalam masa 5 minit.

Ada yang termenung, ada yang garu-garu kepala, ada yang tulis terus, ada yang tekun betul menulis macam karangan pula. Ada juga yang siap tanya kawan lagi sebab nak tiru. Tersenyum saya. Apabila balik dari ceramah, saya meneliti setiap helai kertas yg bermacam bentuk dan saiz (kertas yang dah dikoyak sebenar tapak tangan pun ada).

Catitan seperti diataslah sebahagian daripada tujuan hidup mereka. Saya ingin berkongsi kesimpulan daripada apa yang saya fahami daripada tulisan mereka. Ini penting, kerana inilah jiwa dan apa yang diinginkan oleh remaja kita pada masa ini.

Dahagakan Perhatian Atau Kasih Sayang

Kebanyakan apa yg hati mereka inginkan adalah perhatian terutamanya ibubapa. Mungkin mereka merasakan ibubapa tidak memahami mereka dan tidak memberikan perhatian yang secukupnya. Perkataan PERHATIAN adalah antara perkataan yang banyak saya lihat didalam catatan-catatan mereka. Mungkin ibubapa tidak memberikan perhatian yang secukupnya kepada mereka, menyebabkan apa yang mereka mahukan adalah perhatian ibubapa. Mungkin juga guru-guru hanya pandai memarahi tapi tidak mengasihi menyebabkan mereka merasa tersisih dan tidak mempunyai sesiapa di dunia ini.

Pernyataan seperti "menjadi anak berguna" dan "ingin menggembirakan ibubapa" merupakan satu kenyataan atau pernyataan tersembunyi bahawa mereka dahagakan perhatian dan kasih sayang ibubapa. Apa yang mereka mahu didunia ini adalah apa yang ibubapa mahu, bukannya apa yang mereka mahu. Ini akan menyebabkan mereka belajar didalam keadaan tertekan, kerana mereka belajar kerana orang lain seperti ibubapa, guru-guru dan masyarakat. Keinginan mereka bukannya milik mereka, tapi milik ibubapa mereka.



Kesan Dahaga Kasih Sayang

Sepertimana orang yang dahaga, pasti mereka mahukan minuman untuk menghilangkan dahaga mereka. Remaja yang dahagakan kasih sayang, akan mencarinya diluar daripada rumah. Maka, keluarlah peranan kawan, kenalan dan sebagainya. Masalahnya, kenalan/rakan-rakan adalah sama seperti mereka dan belum matang untuk menjadi pembimbing.

Sebab itulah , kadang-kadang kita lihat, pelajar sekolah mempunyai teman lelaki yang jauh lebih tua dan bekerja. Mereka mampu memberikan duit dan mempermainkan perasaan mereka. Natijahnya, mereka mudah terjebak ke dalam kancah zina. Mungkin kita sudah biasa, melihat pelajar sekolah masih memakai baju sekolah membonceng motorsikal bersama teman yang dewasa. Inilah sebenarnya apa yg remaja mahu.

Tapi kita masih gagal mengesan dan menanganinya. Apa yang kita berikan hanya teguran, marah dan sebagainya. Tapi, sebelum kita memarahi mereka, cuba kita selami apa yang menyebabkan ia berlaku, mungkin ada masalah di rumah. Keinginan seorang muslim. Tetapi, sebenarnya yg paling mengecewakan, ialah tiada seorangpun keinginannya sepertimana yang digariskan Allah didalam Al-Quran iaitu mendapat keredhaan Allah S.W.T.

Semuanya menginginkan utk diri mereka ataupun keinginan ibubapa. Namun tak ada seorang pun yang ingin menunaikan keinginan Rasulullah.

"Sesungguhnya aku ciptakan jin dan manusia untuk beribadat kepadaku"

Inilah sebenarnya tujuan dan keinginan kita yang teragung. Yang tak ada batasan duniawi ,tetapi melangit terus menjulang ke 'Arasy Allah. Inilah tujuan kenapa kita dihidupkan dan inilah tujuan kenapa kita berada di dunia ini. Kita telah diciptakan untuk menjadi khalifah di muka bumi, tetapi kenapa cita-cita kita hanya menjadi seorang doktor, seorang anak yang berjaya dan sebagainya.

Cita-cita ini tidak salah, tapi kita membataskannya hanya setakat perkara-perkara duniawi.

Kenapa itu sahaja yang kita inginkan?


Saya pasti ramai yang ada cita-cita, ramai yang ada keinginan, ramai yang ada perancangan dan mungkin sekarang sedang menuju cita-cita mereka. Saya merayu, gabungkan sedikit keinginan Rasulullah dalam tujuan hidup kita.

Sesiapa yang ingin menjadi guru, janganlah sekadar menjadi guru, tetapi jadilah guru yang tunduk kepada Allah dan menjadi Da'ie yang menyeru anak muridnya kepada Islam. Kalau sesiapa yang ingin mengumpul sejuta ringgit, maka niatkanlah sebahagiannya akan disedekahkan ke jalan Allah.

Sesiapa yang ingin membina empayar perniaagaan, maka niatkanlah agar ia bersih dari unsur haram dan dapat membimbing pekerjanya ke arah Iman. Itulah cita-cita yg sebenar. Umat Islam terdahulu memahami perkara ini dan meletakkan tujuannya hanya untuk Allah dan bukan untuk duniawi. Maka sebab itulah dunia datang kepada mereka. Maka, jadilah mereka generasi yang hebat yang pernah menguasai 1/3 dunia.

MARILAH SAMA-SAMA KITA BETULKAN TUJUAN HIDUP KITA
.

"Kalau kamu mengejar dunia, dunia akan hilang apabila datangnya kematian, tapi kejarlah akhirat, nescaya kebahagiaan dunia akan kamu temui dan kebahagiaan akhirat pasti akan menanti "

"Wahai manusia, kamu telah bekerja bersungguh-sungguh menuju Tuhanmu, maka kamu pasti menemuiNya " Al-Insyiqaq- 6




LIHATLAH PENCIPTAAN KITA...DAN INGATLAH JANJI KITA KETIKA ROH DITIUPKAN

No comments: