Sunday, November 6, 2011

THE SACRIFICE

..THE SACRIFICE..
Ketibaan Aidiladha  mengingatkan kita kepada pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai hamba Allah. Arahan yang mungkin dianggap tidak logik untuk dilaksanakan agar baginda menyembelih anaknya Nabi Ismail dilakukan dengan penuh pasrah dan ketaatan. Walaupun Nabi Ismail adalah anak tunggal yang sangat dikasihi melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar, baginda mendahulukan Allah lebih daripada segala-galanya.
Tambahan lagi, persediaan Nabi Ismail untuk disembelih atas arahan Allah SWT untuk dilaksanakan oleh ayahnya terhadapnya. Begitu juga, persediaan Siti Hajar untuk tinggal di lembah Mekkah bersama anaknya Ismail di Mekkah yang tidak ada penduduk dan makanan. Ini juga adalah kerana mengikut perintah Allah SWT.
Sebagai hamba Allah, arahan dan ketetapan yang diberikan hendaklah dipikul dengan sebaik-baiknya. Tidak ada pilihan bagi hambanya yang mengaku beriman untuk mengingkari segala perintah yang ditetapkan khususnya yang terdapat dalam Al-Quran dan apa yang disampaikan oleh utusanNya Nabi Muhammad s.a.w.
sesungguhnya Islam itu syumul.Seorang muslim tidak boleh untuk memilih melaksanakan sebahagian daripada perintah dan meninggalkan sebahagian yang lain. Perintah untuk melaksanakan hukuman hudud  sebagai contoh seharusnya ditaati sebagaimana perintah ibadat haji ke atas umat Islam. Perintah untuk melaksanakan hukuman qisas seharusnya dipikul sebagaimana perintah melakukan ibadat puasa ke atas orang yang beriman.
Walaupun hukuman ini pada pandangan sesetengah orang dilihat terlalu keras dan tidak sesuai dilaksanakan di zaman moden ini, sebagai seorang muslim yang mengambil pengajaran di sebalik peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim tidak akan meninggalkan arahan tersebut dengan sewenang-wenangnya. Usaha harus dilakukan untuk mencari jalan ke arah perlaksanaannya dan bukan alasan yang diberikan untuk mengelak daripadanya.

sebelum mengakhiri kalam bicara, hayati dan fahamilah firman Allah SWT ini,

A208
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata. (Al-Baqarah 2:208)

No comments: